Khalifah Umar Al-Khattab

Saidina Umar Al-Khatab



Biodata
Nama sebenar           : Umar b Al-Khattab b Nufail b Abdul Uzza b Ribaah
Nama Ibu                 : Hantamah bte Hasyim bin Al-Mughirah bin Abdillah   bin Umar bin Makhzum
Gelaran                    :  Al-Faruq
Keturunan                : Arab Quraisy (Kabilah Bani Adi)
Tarikh lahir              : 13 tahun selepas berlakunya peristiwa Abrahah (menurut Imam Nawawi)
Jawatan                    : Khalifah Ar-Rasyidin Kedua
Tarikh Lantikan        : 634M
Tempoh Jawatan       : 10 tahun
Tarikh M/Dunia        : 23H @ 644M
Umur                       : 63 tahun



 Memeluk Islam
         Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.
Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan rakannya Nu'aim bin 'Abdullah yang mengatakan bahawa beliau haruslah membetulkan adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.
Saidina Umar pergi ke rumah adiknya serta suaminya dan mendapati mereka berdua dan Khabbab bin 'Aratt sedang membaca al-Quran daripada Surah Taha. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat al-Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga.
     Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir. Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulhijjah tahun keenam kenabian.





KEPIMPINAN/ SUMBANGAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB
      
      1.       Pembentukan Majlis al-Syura
Pembentukan satu majlis mesyuarat atau perundingan yang dinamakan sebagai majlis al-Syura.  Beliau sebagai ketua pemerintahan dan ketua negara telah dibantu secara rasmi oleh ahli Majlis Syura yang dianggotai oleh beberapa orang sahabat yang mewakili seluruh rakyat.  Majlis ini berfungsi sebagai kabinet negara.  Ahli majlis terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar iaitu Uthman b. Affan, Zaid b. Thabit, Ali b. Abu Talib, Abdul Rahman b. Auf, Saab b. Abi Waqqas dan Muaz b. Jabal  Majlis Syura terbahagi kepada dua majlis iaitu majlis tertinggi dan majlis harian. 
                Segala masalah penting berhubung dengan negara diselesaikan oleh majlis syura ini yang mana khalifah tidak mempunyai hak istimewa dalam menentukan atau membuat keputusantertentu tanpa mesyuarat majlis.  Majlis juga berkewajipan untuk meneliti semua masalah umat Islam dan negara yang diterangkan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

      2.       Meluaskan wilayah pentadbiran
 Beliau berjaya menakluki sebuah kawasan yang luas meliputi wilayah-wilayah Iraq,Syria dan Mesir sehinggakan beliau terpaksa menghadapi masalah pentadbiran wilayah yang ditakluki dari segi politik,sosial dan ekonomi.Kerajaan Islam pada masa itu berjaya menguasai Baitulmuqaddis dan Damsyik.

      3.       Mewujudkan Pembahagian wilayah
 Mewujudkan pembahagian wilayah bagi melicinkan pentadbiran negara. Wilayah-wilayah pentadbiran dibahagikan kepada beberapa wilayah (antara 6 hingga 8 wilayah) seperti Madinah, Makkah, jazirah Mesir, Iraq, Wilayah Selatan dan Wilayah Timur.  Setiap wilayah ditadbir oleh seorang Gabenor atau wali atau seorang Ketua Setiausaha dan mereka dibantu oleh para pegawai tertentu mengikut jabatan masing-masing.  Pegawai-pegawai awam yang lain ialah Ketua Setiausaha Tentera, pegawai pemungut cukai dan hakim wilayah.  Disetiap wilayah terdapat pegawai-pegawai tertinggi angkatan tentera.   

      4.       Penubuhan Jabatan Baru
Penubuhan jabatan baru yang mana setiap wilayah mempunyai jabatan penting seperti Jabatan Setiausaha Tentera, Jabatan Percukaian, Jabatan Polis, Jabatan perbendaharan Negara dan Jabatan Kadi.  Jabatan penyiasatan jenayah ditubuhkan bagi mengawal anggota pentadbiran awam dan tentera yang melakukan penyelewengan.  Sehubungan dengan itu beberapa jawatan penting telah diwujudkan bagi mengetuai jabatan-jabatan tersebut.  Setiap jabatan diketuai oleh Setiausaha atau khatib dan dibayar gaji bulanan. 
Jabatan kehakiman dipisahkan daripada jabatan lain bagi mengelakkan penyelewengan dan kadi-kadi tidak dibenarkan melibatkan diri dalam perniagaan.  Hakim akan menerima 500 dirham sebulan. 

5.       Pembaharuan dalam undang-undang pentadbiran tanah
Tanah-tanah yang dikuasai oleh tentera Islam dibahagikan kepada dua jenis
i)     Tanah Dhimmah – tanah bertuan ditadbir pemilik asal.
ii)   Tanah Sawafi – tanah tidak bertuan dan ditadbir oleh pemegang-pemegang amanah  yang  dilantik daripada ahli al-Ayyam (golongan peneroka)

6.       Penggunaan Kalendar Hijrah
Khalifah Umar adalah orang bertanggungjawab menentukan tahun Hijrah dalam Kalendar Islam.  Takwim atau kelendar ini dimulakan pada tahun 17  Hijrah bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran negara terutamanya dalam bidang Pendidikan yang banyak membabitkan penggunaan Tarikh 


7.       Mengalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran
Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.




KEWAFATAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

Makam khalifah Umar, di Masjid al-Nabawi, Madinah. Tingkap pertama dari kanan memberikan pandangan makam Umar.

Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Majusi menyembah api yang bernama Abu Lu’lu’ah atau Fairuz. Abu Lu’lu’ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah.
Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya.

4 comments: